Tiada keluhan, suami isteri tabah besarkan dua anak OKU

Tiada keluhan, suami isteri tabah besarkan dua anak OKU

SHANIRA Abu Seman menemani Muhammad Firaz Fakrul dan Farisha Shakila di rumahnya di Kampung Baru, Air Nasi, Semeling, Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri tabah membesarkan dua anak orang kurang upaya (OKU) walaupun berdepan pelbagai kesukaran di Kampung Baru Air Nasi, Semeling di sini.

Anuar Mat Desa, 38, dan Shanira Abu Seman, 39, tidak pernah merungut dan kecewa apabila dianugerahkan dua anak OKU fizikal dan kurang upaya, Muhammad Firaz Fakrul, 5, serta Farisha Shakila, 10.

Di sebalik kepayahan tersebut, keluarga itu turut diuji dengan masalah kewangan sehingga bekalan elektrik di rumah mereka dipotong hampir setahun lalu kerana gagal melunaskan bayaran bil tertunggak.

Shanira berkata, anak kelima daripada enam beradik, Nor Farisha mengalami gangguan saraf sehingga tidak boleh berjalan sejak kecil manakala anak bongsunya, Muhammad Firaz adalah pesakit cecair berlebihan dalam otak.

“Sejak kecil Nor Farisha hanya merangkak dan mengesot untuk berjalan, selain tidak boleh bercakap menyebabkan dia tidak pernah dihantar bersekolah.

“Sementara itu, kepala Muhammad Firaz pula dipasang saluran paip selepas pembedahan dua tahun lalu untuk memudahkan lebihan cecair dibuang bagi mengelak kepalanya membesar hingga mengganggu kesihatannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Baru Air Nasi semalam.

Empat lagi anak pasangan tersebut ialah Nor Farhana Erisya, 12, Nor Fatehah Syakila, 13, Muhammad Farid Farizal, 15, dan Nor Fatin Syazwani, 18.

Menurut Shanira, dia mengambil upah memungut saki-baki buah kelapa sawit di kebun berdekatan rumahnya untuk mencari pendapatan tambahan bagi membantu meringankan beban suaminya yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

“Jika bukan musim memetik buah kelapa sawit, saya dibantu anak sulung, Syazwani yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit selain mengharapkan bantuan daripada jiran terdekat.

“Walaupun Nor Farisha pemegang kad OKU, dia tidak pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, saya menerima bantuan bulanan zakat sebanyak RM300 sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, tambahnya, tiga anaknya yang masih bersekolah sukar mengulang kaji pelajaran pada waktu malam selepas bekalan elektrik di rumahnya dipotong.

“Saya bukan tidak mahu menjelaskan bayaran bil elektrik tertunggak itu tetapi lebih mengutamakan perbelanjaan lain yang lebih penting,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Shanira di talian 019-8836865 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02099541100357153 milik Shanira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN