KUALA LUMPUR: Kerajaan dan syarikat-syarikat penerbangan tempatan di negara ini dicadang menetapkan harga siling tambang kapal terbang bagi penerbangan domestik khususnya semasa musim perayaan.
Dengan langkah itu, penyedia perkhidmatan tidak sewenang-wenangnya mengenakan harga yang disifatkan tidak masuk akal sehingga mencecah ribuan ringgit, dengan adanya standard harga minimum dan maksimum tiket kapal terbang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), Datuk A. Nagaraju berkata, memandangkan permintaan khususnya ke Sabah dan Sarawak sentiasa tinggi pada Aidilfitri, adalah wajar untuk mewujudkan sistem yang mengawal harga tiket berkenaan.
Beliau berpendapat, sekurang-kurangnya harga siling berjumlah RM600 bagi penerbangan sehala atau RM1,200 (dua hala) sudah berbaloi untuk ke mana-mana destinasi dalam negara ini.
Nagaraju bagaimanapun mengambil maklum syarikat-syarikat penerbangan mengamalkan sistem perdagangan bebas, yang membolehkan mereka berurus niaga tanpa campur tangan kerajaan, sekali gus mengakibatkan harga siling tiket kapal terbang belum dilaksanakan.
“Kita mesti ada harga lantai dan harga siling untuk tambang kapal terbang, tidak boleh lebih daripada harga tersebut supaya orang ramai boleh rancang kewangan mereka sebelum menempah tiket. Kalaulah syarikat penerbangan beritahu harga tiket naik disebabkan permintaan tinggi, ia tidak boleh dijadikan alasan kerana orang ramai tetap menggunakan khidmat mereka.
“Jadi, tidak salah jika kerajaan dan syarikat terlibat meletakkan harga siling yang boleh memanfaatkan semua pihak. Sama seperti orang lain, saya juga selalu berurusan ke ibu negara, dan bila harga tiket jadi seperti ini (mahal), saya terkejut kerana harganya sangat melampau,” katanya ketika dihubungi semalam.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, penetapan harga siling tambang kapal terbang untuk sektor tempatan disifatkan baik dengan kos maksimum RM2,000 bagi perjalanan dua hala.
“Pada masa sama, kerajaan mesti membantu mempromosi dan menggiatkan kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi mengekalkan isipadu penumpang. Contohnya, harga melebihi RM2,000 untuk luar negara, dan RM2,000 untuk percutian dalam negeri. Jadi, kita mahu meletakkan satu tawaran harga yang cantik dan bersifat menang-menang,” katanya.
Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan, harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda atau 2,000 peratus dari harga asal, menyaksikan harganya antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 untuk penerbangan sehala.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia pula melaporkan harga tiket ke beberapa destinasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menurun secara purata kurang daripada RM1,000 sehala, hanya selepas kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjalankan siasatan terhadap syarikat penerbangan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani pula berkata, sebaiknya kerajaan dan syarikat penerbangan berunding untuk menetapkan harga siling, dan jika syarikat tersebut hendak mengenakan caj melebihi harga maksimum mestilah berdasarkan syarat-syarat tertentu.
“Kita boleh ada harga siling, tetapi ia bukan tetap. Mesti ada syarat, kalau mahu melebihi harga maksimum, ia tertakluk pada kenaikan harga bahan api dan lain-lain. Tapi, kalau boleh, semasa hari raya, kawal terus harganya dan penyedia perkhidmatan tidak boleh mengenakan harga terlalu tinggi,” katanya.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff bagaimanapun berpendapat, penetapan harga siling tidak semudah yang dijangka kerana syarikat penerbangan mengamalkan dasar pasaran terbuka dan persaingan yang sihat.
“Ada perkara yang kita boleh letak harga siling, ada juga tidak boleh. Dalam hal ini, ia tidak boleh disamakan dengan barangan keperluan asas yang sudah mempunyai harga kawalan dan kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak meletakkan harga mereka mahu, kerana akhirnya, kita mahu mewujudkan satu persaingan sihat.
“Apabila wujudnya sekatan, mungkin memberi kesan kepada perkhidmatan seperti kita tidak akan mendapat perkhidmatan berkualiti, atau perkhidmatan yang diterima adalah berdasarkan apa yang dibayar sahaja dan akhirnya, pengguna juga akan rugi,” katanya. – UTUSAN