Tengkujuh: ECRL beroperasi walau hujan lebat, banjir - Utusan Malaysia

Tengkujuh: ECRL beroperasi walau hujan lebat, banjir

DARWIS Abdul Razak (kanan) beramah mesra dengan pengamal media dalam majlis buka puasa di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer dijamin masih dapat beroperasi walaupun hujan lebat dan banjir melanda Pahang, Terengganu dan Kelantan pada musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, keseluruhan struktur kejuruteraan jajaran termasuk terowong dan jambatan dibina dengan mengambil kira ukuran tahap melampau hujan menerusi tempoh purata berulang (ARI) 100 tahun.

Katanya, lokasi-lokasi banjir dan berisiko bah juga sudah dikenal pasti awal sekali gus dapat memastikan reka bentuk landasan yang lebih tinggi daripada paras banjir tertinggi pernah direkodkan.

“Misalnya di Sungai Pahang, statistik  paras ketinggian banjir ialah 38 meter, jadi landasan yang dibina ialah 51.2 meter dengan perbezaan sebanyak 13 meter.

“Ini antara contoh yang boleh dikongsikan, maksudnya dari segi jajaran kita memang lebih daripada paras banjir yang telah berlaku sepanjang tempoh 100 tahun dan kita tambah lagi 20 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media malam tadi.

ECRL yang merangkumi 59 terowong dan beberapa jambatan dijadualkan siap pada Disember 2026 dengan kos bernilai RM50.27 bilion.

Menurut Darwis, kemajuan keseluruhan projek ECRL di keempat-empat negeri iaitu Pantai Timur dan Selangor kini mencapai 28.57 peratus dan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, harga tiket penumpang bagi sistem pengangkutan berkenaan akan ditetapkan pihak kerajaan sebaik sahaja beroperasi pada Januari 2027.

“Saya yakin dan percaya kerajaan akan memutuskan harga yang wajar iaitu berpatutan dan tidak membebankan rakyat. Sebanyak 70 peratus kapasiti ECRL melibatkan pengangkutan kargo manakala baki 30 peratus lagi adalah penumpang,” katanya.

Terdahulu, Darwis berkata, kesemua enam stesen ECRL di Terengganu dijadualkan mula dibina pada suku keempat tahun ini dengan kerja-kerja infrastruktur siap pada 2024 dan pengujian pula pertengahan 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya