MUNGKIN sudah ramai yang membeli baju raya dan berkira-kira untuk menghias diri secantik serta setampan mungkin dengan busana tradisional Melayu.
Apa kata tahun ini beraya dengan elemen baharu menggantikan songkok hitam dengan bertanjak?
Pereka busana kreatif Melayu dari butik Tanjak & Busana Butik Ezah Pelabuhan Klang, Rahman Tan,63, berkata, salah satu tanjak yang dijual adalah tanjak kreasi.
Tanjak tersebut dihasilkan diperbuat daripada kain pelikat dan batik.
Katanya dengan mereka tanjak kreasi, pereka busana sepertinya, bebas berkarya.
“Tanjak kreasi selalunya digayakan individu atau orang kebanyakan untuk digayakan pada majlis tidak formal seperti perjumpaan keluarga seperti Aidilfitri atau kenduri-kendara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tanjak tradisi lama seperti Dendam Berahi, Dendam Tak Sudah dan Tanjak Helang Menyambar kebiasaannya dipakai untuk upacara kebesaran rasmi dan tidak sesuai dibuat sebagai tanjak raya kerana nilai warisan budaya yang perlu dipelihara.
CIPTA KELAINAN
Lantaran tanjak dihasilkan atas kreativiti sendiri, masa yang diambil juga tidak lama. Cuma yang menjadi cabaran ialah mereka kelainan pada setiap tanjak agar ciptaan dapat dipelbagaikan.
“Saya mempunyai banyak stok kain pelikat daripada Indonesia. Warna kain pelikat yang garang dan cantik coraknya buatan seberang menjadikan ia menarik digayakan dengan apa busana sekalipun,” kata Rahman.
Menyentuh mengenai isu pemakaian tanjak sebagai sebahagian pakaian harian dalam kalangan generasi muda, Rahman menganggap perkara tersebut sebagai hak masing-masing.
Dia sendiri mendapat tempahan daripada pihak tertentu yang inginkan tanjak bercorak kain pakaian seragam seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), askar dan bercorak Jalur Gemilang.
“Isu yang mungkin timbul adakah pemakaian tanjak bercorak sedemikian mengundang persepsi negatif segelintir pihak,” katanya.
Apa yang penting, setiap pakaian dipakai mesti diiringi dengan kesopanan dan kesusilaan sebagaimana rukun negara kita.
Jika boleh katanya, untuk rakyat biasa, elakkan memakai tanjak Pahang, Belalai Gajah dan lain-lain tanjak kebesaran kerabat diraja.
Sebaliknya untuk Aidilfitri, lebih selamat pakai tanjak kreasi bukan berasaskan songket.
“Tanjak daripada kain pelikat dan batik Indonesia mahupun Sarawak pun cantik dipadankan dengan baju raya.
“Apa yang perlu dilakukan adalah memilih warna baju raya yang secocok dengan warna tanjak kita,” katanya.
Begitupun katanya, masalah menyesuaikan warna tanjak dan baju Melayu menyebabkan ramai lelaki memilih warna hitam.










