SENAI: Johor masih dalam perancangan untuk menambah bilangan penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini susulan pembukaan semula sempadan bermula hari ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar berkata, buat masa ini ia hanya melibatkan satu penerbangan dari Ho Chi Minh, Vietnam setiap hari.
“Pada minggu depan pula, penerbangan dari Ho Chi Minh akan ditambah menjadi dua trip sehari manakala penerbangan dari Jakarta, Indonesia juga akan mula beroperasi. Penambahbaikan itu dilakukan secara berperingkat sejajar dengan pembukaan sempadan pada hari ini. Harap ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyambut penerbangan antarabangsa pertama yang mendapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.
Penerbangan antarabangsa pertama dari Ho Chi Minh City, Vietnam susulan pembukaan sempadan antarabangsa itu membawa seramai 82 penumpang ke negeri ini.
Dalam pada itu, Suhairi berkata, usaha untuk menambah penerbangan antarabangsa ke LTAS adalah berpandukan kepada perubahan serta perkembangan dalam tempoh enam bulan pertama bermula hari ini.
Sekiranya ia menunjukkan perkembangan positif, jelasnya, usaha ke arah itu akan dipercepatkan bagi menambah limpahan pengunjung antarabangsa ke negeri ini.
“Kita tak boleh nak menjangka apa Yang berlaku di masa hadapan, jadi Kita bagi masa dulu selama enam bulan untuk membuat penilaian dan perkembangannya. Yang pastinya kita akan memastikan kemasukan pengembara asing ke negeri ini akan dipertingkatkan mungkin melibatkan penerbangan antarabangsa dari China dan Asia Barat,” katanya.
Katanya, pihaknya sudah menjalinkan kerjasama dengan Malindo Air bagi membantu masuk lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Mungkin masih berada di peringkat awal, jadi kemasukan pengembara itu masih perlahan dan dijangka dalam tempoh seminggu dua ini ia akan menjadi lebih ramai lagi,” ujarnya. – UTUSAN