'Tak sabar tunggu kepulangan anak, cucu' - Utusan Malaysia

‘Tak sabar tunggu kepulangan anak, cucu’

SAADAN Ismail bersama isterinya menatap gambar anak-anak dan sudah tidak sabar menunggu kepulangan mereka sempena Aidilfitri minggu depan di Kampung Jawi 100, Sungai Padang, Arau, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Selepas dua tahun menyambut Aidilfitri tanpa anak dan cucu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebaran yang bakal menjelma cukup bermakna bagi pasangan warga emas yang sudah tidak sabar menanti kepulangan insan tersayang.

Malah, pasangan warga emas dari Kampung Jawi 100, Sungai Padang di sini juga sudah membuat persediaan lebih awal menyambut Syawal dalam suasana penuh meriah selepas negara berada dalam peralihan ke fasa endemik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Saadan Ismail, 63, berkata, suasana raya tahun ini pastinya lebih meriah dan sempurna apabila empat orang anak serta lima cucunya dapat berkumpul beramai-ramai.

Katanya, sambutan Aidilfitri dua tahun sebelum ini agak suram apabila hanya disambut bersama isteri, Zabedah Salleh, 60, selain seorang anak yang menetap di Perlis.

Jelasnya, anak-anaknya masing-masing menetap di Kedah, Perak dan Kuala Lumpur.

“Memang anak-anak ada pulang selepas kebenaran rentas negeri dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, namun pada Aidilfitri sebelum ini kebetulan kita dikenakan PKP menyebabkan anak-anak dan cucu tidak dapat pulang beraya.

“Suasana pasti meriah tahun ini apabila anak-anak dan cucu dapat berkumpul bersama dalam meraikan lebaran.

“Anak ketiga saya yang tinggal di Perak juga akan pulang beraya di kampung pada tahun ini. Bagaimanapun, anak bongsu yang bertugas sebagai jururawat di Kuala Lumpur tidak dapat pulang kerana terpaksa bertugas,” katanya.

Zabedah pula berkata, persiapan raya kali ini lebih meriah selepas lebaran kembali boleh disambut seperti biasa.

“Lazimnya saya akan menyediakan hidangan ketupat dan gulai daging yang sangat digemari oleh anak-anak manakala baju raya pula, selalunya anak-anak yang akan belikan apabila mereka pulang ke kampung halaman.

“Sambutan Aidilfitri pada tahun ini pastinya lebih meriah, tidak seperti dua tahun sebelum ini apabila kita hanya duduk di rumah. Dapat beraya bersama insan-insan tersayang cukup bermakna bagi kami dan suasana seperti itu sangat-sangat dinantikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN