TASEK GELUGOR: Pendapatan Ishak Abdullah, 67, sebagai seorang pembuat keranda tidak pernah menentu dan pernah bekas peniaga mi itu tidak mempunyai wang kerana tiada tempahan tiga atau empat bulan berturut-turut.
Katanya, mujur ketika pandemik melanda dia ada menerima tempahan keranda sama ada daripada orang kampung atau pihak masjid dan lain-lain.
“Bukan mengharapkan ada kematian setiap hari, tetapi inilah punca pendapatan saya sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika menerima kunjungan rombongan konvoi untuk program Sinar 2.0 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, di rumahnya di Kampung Pokok Jenerih, di sini semalam.
Menurut Ishak, dia terharu kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasibnya dan keluarga terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, seronok (terima sumbangan). Dapat juga ringankan beban kerana bukan hari-hari saya terima tempahan (keranda).
“Ada juga orang upah saya buat perabot sekali-sekala tetapi sehingga kini sangat jarang saya terima (tempahan),” kata yang kini tinggal berdua bersama anak lelakinya yang tidak dapat bekerja.
Ishak adalah antara 50 penerima sumbangan untuk program berkenaan yang menyasarkan golongan asnaf khususnya mereka yang miskin serta berpendapatan rendah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) khususnya di Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
Bagi Khalid Bakar, 84, dari Kampung Tok Bedu di sini pula, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan Aidilfitrinya yang suram sejak negara dilanda Covid-19 dua tahun lalu.
“Syukurlah, anak cucu pun ada di sini dah (tinggal tidak jauh dari rumah). Jadi, raya raya kali ini lagi bermakna,” katanya yang masih gagah menanam sayur walaupun ketika berpuasa.
Dalam pada itu, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Kay Dora Abd. Ghani berkata, kira-kira 40 penuntut universiti itu terlibat dalam program berkenaan yang kini memasuki edisi kedua.
Katanya, selain warga UiTM Pulau Pinang dan alumni universiti itu, program tersebut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Pejabat Daerah dan Tanah SPU serta beberapa wakil industri.
“Alhamdulillah, jumlah dana yang terkumpul untuk sumbangan kali ini juga agak tinggi iaitu melebihi RM11,000,” katanya yang memberitahu, selain barangan keperluan harian, pihak UiTM Pulau Pinang juga menyumbang 2,000 pek jus buah-buahan segar kepada penuntut universiti berkenaan. – UTUSAN