Tahanan Rohingya lolos berada di Selayang

Tahanan Rohingya lolos berada di Selayang

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak menolak kemungkinan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu dipercayai sudah berada di sekitar Selayang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan sebelum tindakan diambil.

Kata beliau, berdasarkan maklumat yang diterima berkemungkinan mereka dibantu oleh komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

“Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata beliau, sebanyak 61 orang tahanan dipercayai masih bebas dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu pelarian terlibat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN