Tahanan lari berkaki ayam 10 km, kendong bayi berusia setahun

Tahanan etnik Rohingya lari berkaki ayam 10 km, kendong bayi berusia setahun

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Sungai Bakap berjalan kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat tahanan itu sebelum kelibat mereka dikesan di sekitar Nibong Tebal, dekat sini awal pagi tadi.

Malah, sebahagian besar etnik Rohingya itu berjalan dalam keadaan berkaki ayam dengan ada yang menggendong bayi berusia kira-kira setahun selain terdapat warga emas.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mereka juga bergerak tanpa arah tujuan dan hanya mengikut pergerakan ahli kumpulan yang lain.

“Apa yang diperhatikan mereka bergerak menuju ke arah selatan, tetapi tidak pasti ke mana lokasi tujuan mereka.

“Sebab itu kita turut meminta kerjasama daripada polis kontinjen Perak untuk mengesan saki baki tahanan ini yang masih bebas kerana terdapat sebahagiannya terlepas masuk ke dalam hutan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, enam tahanan yang maut dirempuh kenderaan ketika cuba melintas lebuh raya pula bergerak dalam satu kumpulan.

Ujarnya, mereka dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan namun masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Ditanya sama ada keenam-enam mangsa merupakan sebuah keluarga, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis juga sudah mendapatkan keterangan daripada salah seorang waris mangsa yang turut ditahan semula.

Dalam pada itu beliau berkata, kesemua tahanan itu sedang menunggu tempoh untuk dihantar pulang ke negara asal dan polis yakin mereka tidak akan bertindak agresif.

Malah ujarnya, dengan tempoh kejadian yang sudah melebihi 12 jam, tahanan yang masih bebas dipercayai semakin keletihan dan berkemungkinan akan mendapatkan bantuan daripada orang awam.

“Jadi kita meminta kerjasama orang ramai sekiranya terserempak dengan tahanan ini supaya memujuk mereka menyerah diri atau jika tidak berani mendekati mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu tambahnya, polis Pulau Pinang turut mengadakan tiga sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan yang masih bebas iaitu masing-masing di Jalan Sungai Baung, Sungai Bakap; Jalan Tasek Valdor, Simpang Empat dan Jalan Kerian-Kedah.

Selain itu katanya, polis turut  menubuhkan sebanyak 17 pasukan tangkapan terdiri daripada empat pegawai dan 80 anggota selain bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam mengesan tahanan yang masih bebas.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga kita berpuas hati kesemua tahanan yang lolos ini berjaya ditahan semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya