Sukar banteras scammer kerana teknologi berkembang

Sukar banteras scammer kerana teknologi berkembang

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung kes penipuan scammer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenayah penipuan atau scammer tidak akan habis malah pihak berkuasa dipercayai berdepan dengan pelbagai cabaran seiring dengan perkembangan teknologi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, penipuan seperti Macau Scam, dalam talian, pelaburan tidak wujud dan sebagainya bukan sahaja berlaku di Malaysia malah satu dunia turut mempunyai kekangan bagi membanteras sindiket jenayah antarabangsa.

Kata sumber, dalang sindiket sanggup melakukan apa sahaja jika wujud peluang dan ruang untuk menipu bagi mendapatkan keuntungan secara cepat serta mudah.

“Teknologi semakin maju dan berkembang jadi penjenayah perlu ‘kreatif’ untuk menipu wang mangsa.

“Sindiket penipuan ini mempunyai banyak lapisan, selalunya tangkapan melibatkan orang bawahan manakala dalang sukar dijejaki,” katanya semalam.

Dalam pada itu, menurut sumber, kebanyakan mangsa mendakwa mengetahui kewujudan scammer namun cepat panik apabila mendapat panggilan kononnya daripada pihak berkuasa atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara.

Kata sumber, tangkapan melibatkan Macau Scam kebanyakannya terdiri daripada operator yang direkrut melalui aplikasi WhatsApp serta media sosial dengan dijanjikan gaji antara RM3,000 hingga RM4,000.

Malah, ujarnya, kesemua urusan dengan runner hanya berhubung melalui aplikasi tersebut serta tidak pernah berjumpa dengan dalang sebenar.

“Sebarang pembayaran gaji atau mana-mana urusan seperti tempat tinggal dan sebagainya antara penyelia dan operator dilakukan melalui telefon.

“Sindiket penipuan Macau Scam yang bergerak aktif di negara ini dipercayai bagi memperdaya mangsa Singapura, China dan India selain dalang dipercayai berada di luar negara.

“Itu antara faktor mengapa suspek Macau Scam susah untuk didakwa kerana kesukaran mendapatkan bukti atau mangsa di luar negara,” ujarnya.

Selain itu, sumber berkata, risikan pihak berkuasa mendapati kebanyakan sindiket penipuan yang memperdaya rakyat negara ini dipercayai bergiat aktif di Kemboja, Thailand dan China.

Jelas sumber, modus operandi itu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa negara berkaitan penipuan dijalankan sindiket.

Mac lalu, sebanyak 81,079 kes rakyat Malaysia terlibat dalam penipuan siber membabitkan kerugian RM1.52 bilion dalam tempoh empat tahun sejak 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya