Stesen minyak seleweng diesel bersubsidi diserbu

Stesen minyak seleweng diesel bersubsidi diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Klang, Selangor. 

KPDNHEP dalam satu kenyataan menyebut, serbuan yang dilakukan pada 7 April kira-kira pukul 10 malam oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari KPDNHEP Putrajaya adalah hasil risikan yang telah dilakukan sejak beberapa minggu yang lalu. 

Ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut, menurut kementerian, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel berjumlah RM250 di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan. 

“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM 1,000 bagi pengisian tersebut secara tunai di stesen minyak terbabit. 

“Hasil Pemeriksaan lanjut mendapati dua ‘compartment’ tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter,” kata kenyataan itu hari ini. 

Tambah kenyataan tersebut, bagi tujuan siasatan minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan invois atau resit jualan serta belian telah disita. 

Kenyataan itu menyebut, keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50. 

Jelasnya, seorang individu lelaki warga tempatan berumur 60 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Sementara itu, kata kenyataan tersebut, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.

Tambahnya lagi, kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

Selain itu, kenyataan tersebut memberitahu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN