PETALING JAYA : Keghairahan rakyat Malaysia membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri menjadi ‘sasaran’ sindiket menjual barangan berjenama tiruan.
Kegiatan sindiket yang didalangi warga Bangladesh dan Pakistan yang aktif sejak dua tahun lalu itu, dikesan mensasarkan jualan mereka secara dalam talian dan peruncitan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, satu serbuan telah dijalankan pihaknya bersama wakil pemilik cap dagang ke atas empat buah premis di ibu negara pada 29 Mac lalu.
Kata beliau, serbuan pertama telah dijalankan terhadap tiga premis yang beroperasi di sebuah kompleks pemborong terkemuka di Jalan Kenanga dekat sini.
“Hasil serbuan itu, sebanyak 22,207 pasang barangan berjenama yang disyaki tiruan yang terdiri daripada pakaian dan kasut berjenama telah dirampas.
“Jumlah sitaan barang membabitkan keempat-empat premis itu adalah berjumlah lebih RM850,000 kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam sidang akhbar khas di Segambut dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ariffin, siasatan awal mendapati tiga premis berkenaan turut dipercayai menjual barangan tiruan secara atas talian kepada pelanggannya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kesemua barangan tersebut diimport daripada kedua-dua negara Asia Selatan sebelum disimpan di gudang berkenaan dan kemudian diedar kepada pemborong dan peruncit untuk jualan di pasaran di ibu negara.
“Ketika serbuan, kesemua suspek termasuk dalang sempat melarikan diri daripada premis. Menyebabkan kami hanya sempat merampas barang-barang tiruan berjanama yang disimpan mereka di gudang dan juga pemborong.
“Harga sehelai baju dan seluar diperolehi dengan kos RM10 hingga RM40 sahaja tetapi akan dijual dengan harga RM25 hingga RM80 sehelai di pasaran ibu negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau lagi, serbuan kedua pula telah dilakukan di sebuah gudang di Taman Kencana dekat sini.
Jelasnya, hasil serbuan mendapati terdapat ribuan kasut tiruan berjenama yang dijual pada harga RM30 hingga RM80 sepasang tetapi dijual semula di pasaran dengan harga RM 60 hingga RM100 sepasang.
“Sindiket berkenaan dipercayai menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar ibu kota selain bekalan kasut itu dihantar kepada peniaga di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).-UTUSAN