KOTA BHARU: Menjelang 1 Syawal ini, Kelantan dijangka sibuk apabila dianggarkan lebih 500,000 perantau dari seluruh negara pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Jangkaan itu berdasarkan suasana semasa selepas peralihan fasa endemik negara yang menyaksikan pertambahan jumlah pelancong domestik dan pengunjung ke negeri ini bermula 1 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, ramai perantau mahu beraya di kampung setelah dua tahun tidak dapat pulang akibat Covid-19.
“Berdasarkan laporan terkini, berlaku pertambahan kenderaan masuk mengikut jalan darat ke negeri ini, selain penerbangan yang sentiasa penuh sejak kebelakangan ini sehinggalah Syawal kelak.
“Apa pun, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan rancang perjalanan apabila pulang ke kampung halaman nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pengagihan 1,800 naskah al-Quran kepada pengusaha premis pelancongan di Kelantan bertempat di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim hari ini. – UTUSAN