GAZA: Sejak perang meletus 7 Oktober 2023, seorang pakar pediatrik, Dr. Alaa al-Najjar yang bertugas di Kompleks Perubatan Nasser itu berdepan banyak situasi genting, terutamanya melibatkan pesakit kanak-kanak dengan pelbagai jenis kecederaan dan penyakit sehingga ada yang sukar dirawat dan meninggal dunia.
Namun kelmarin, perkara yang paling ditakuti Alaa iaitu kehilangan anak-anaknya menjadi kenyataan apabila beliau menerima mayat dan cebisan tubuh sembilan anaknya yang rentung.
Alaa kehilangan sembilan daripada 10 anaknya selepas tentera Israel melancarkan serangan udara yang mengenai kediamannya di kawasan Qizan al-Najjar di selatan Khan Younis.

Serangan itu menyaksikan rumah keluarganya musnah sepenuhnya dengan ada bahagian terbakar, menyebabkan hampir semua anaknya rentung.
Semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, anggota kecemasan menemukan sembilan mayat termasuk kanak-kanak yang rentung.
Suami Alla, Dr. Hamdi al-Najjar turut cedera parah akibat serangan itu dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Saksi kejadian memaklumkan, Alaa rebah dan tidak mampu menahan kesedihan ketika mengenal pasti mayat anak-anaknya yang berusia antara dua hingga 12 tahun sebaik sahaja mereka tiba di hospital tempat beliau bekerja.
Wanita itu hanya mampu menangis tanpa berkata-kata ketika melihat keadaan mayat anak-anaknya.
Pengarah Besar Kementerian Kesihatan di Gaza, Dr. Munir Al-Barsh berkata, Alaa mempunyai 10 orang anak, dengan yang sulung berusia bawah 12 tahun.
Pada pagi kejadian, beliau dan suaminya keluar bekerja, namun kediaman mereka diserang sejurus selepas suaminya pulang sebentar ke rumah.
Antara anak-anak yang terkorban ialah Yahya, Rakan, Raslan, Jubran, Eve, Rifan, Saydin, Luqman dan Sidra manakala anak bongsu mereka, Adam, terselamat tetapi mengalami kecederaan serius.
“Tragedi ini mencerminkan realiti yang dihadapi oleh petugas kesihatan di Gaza. Mereka bukan sahaja menjadi sasaran di tempat kerja malah turut terancam di rumah sendiri bersama ahli keluarga.
“Tiada kata-kata mampu menggambarkan keperitan yang ditanggung Alaa dan semua keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat kekejaman Israel.
“Hari ini anda merawat atau melihat anak orang lain terkorban akibat terkena serangan dan esok atau bila-bila, anda juga mungkin menyaksikan mangsa itu adalah anak atau ahli keluarga anda sendiri,” kata Munir.
Insiden tragis ini berlaku dalam siri serangan agresif oleh tentera Israel terhadap wilayah Khan Younis dan kawasan lain di Gaza sejak beberapa minggu lalu yang mengorbankan ratusan nyawa dengan majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Perang yang meletus sejak 2023 itu menyaksikan hampir 60,000 penduduk Gaza terbunuh dan 14,000 lagi hilang.
Israel sehingga kini terus menolak desakan dunia untuk melaksanakan gencatan senjata biarpun kumpulan pejuang Hamas bersetuju membebaskan kesemua tebusan jika peperangan dihentikan serta-merta.
Israel menerusi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu terus agresif melancarkan serangan dengan misi mahu menawan keseluruhan Gaza.
Pemimpin angkuh itu menyatakan beliau yakin Hamas dapat dihapuskan sepenuhnya dari Gaza dan Israel akan mengambil alih pentadbiran di wilayah tersebut. – AGENSI










