Sesi libat urus dengan industri rokok diteruskan - Utusan Malaysia

Sesi libat urus dengan industri rokok diteruskan

KHAIRY Jamaluddin selepas melancarkan Program Generational Endgame Antirokok (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kementerian Kesihatan tetap meneruskan sesi libat urus dengan semua pemain industri tembakau dan rokok elektronik walaupun berkempen menamatkan generasi perokok.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu akan dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas lebih tepat sebelum pembentangan rang undang-undang larangan merokok.

“Saya sendiri hadir sesi libat urus tersebut kerana kita mahu mereka bersiap sedia apabila peraturan baharu mengenai larangan produk rokok diluluskan di Parlimen kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Generational Endgame Antirokok (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini.

Rang Undang-Undang (RUU) tersebut turut memastikan tiada lagi pemilikan sebarang produk rokok termasuk jenis elektronik terhadap golongan muda yang lahir selepas 2005 yang kini berusia 17 tahun.

Khairy berkata, RUU berkenaan ketika ini sedang disemak teliti oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai depan.

“Memanglah pihak industri rokok akan keluar pendapat mereka sendiri tetapi akhirnya kita yang menetapkan undang-undang demi kepentingan tahap kesihatan awam. Kita juga pada masa sama akan memohon pertimbangan pihak Perbendaharaan agar duti import terhadap produk penggantian nikotin dapat diturunkan atau dihapuskan langsung.

“Langkah itu amat perlu agar usaha dirancang kerajaan bergerak selari bagi membantu kelompok perokok tegar berhenti merokok menerusi penggunaan produk alternatif itu. Justeru, kita amat berharap perkara tersebut akan dapat diberikan penekanan untuk pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sekitar Oktober atau November depan,” katanya.

Selain itu, Khairy juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan rokok luar negara ke pasaran domestik.

Menyentuh mengenai dos penggalak kedua, beliau memaklumkan setakat ini hanya 1,939 individu sudah menerimanya di beberapa Pusat Pemberian Vaksin di hospital kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN