SEMy2030 wujud 95,000 peluang pekerjaan menjelang 2030

SEMy2030 wujud 95,000 peluang pekerjaan menjelang 2030

ISMAIL Sabri Yaakob (dua kiri) bersama Noh Omar (dua kanan) menunjukkan buku SEMy2030 selepas gimik perasmian di Lalaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT BINTANG: Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang menyediakan hala tuju nasional baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial  disasar mewujudkan sehingga 95,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu adalah hala tuju nasional dengan matlamat untuk mengarusperdanakan perusahaan sosial sebagai penyumbang efektif. 

Beliau berkata, SEMy2030  menyediakan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

“Perkembangan keusahawanan sosial di Malaysia masih di peringkat awal. Banyak elemen penting termasuk kerangka kawal selia, infrastruktur kewangan dan jaringan keselamatan kewangan belum tersedia.

“Harapan saya, menjelang 2030, perusahaan sosial diiktiraf sebagai penyumbang penting dalam membangunkan Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

 “Konsep penjanaan impak melalui aktiviti keusahawanan sosial kini mendapat perhatian dan diiktiraf sebagai elemen penting dalam menangani permasalahan sosioekonomi semasa,” katanya berucap melancarkan SEMy2030 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. 

Menjelang 2030, pelan rangkaan itu dijangka mampu memandu nilai perolehan perusahaan berdaftar sehingga RM2.6 bilion dan mewujudkan sehingga 10,000 bilangan perusahaan sosial yang berdaftar. 

Setakat tahun ini, jumlah keseluruhan bilangan perusahaan sosial berdaftar hanyalah 414 manakala nilai perolehan perusahaan itu sebanyak RM100 juta. 

Menurut Ismail Sabri, dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di Malaysia mencapai kejayaan sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara.

Sementara itu, Noh Omar berkata, SEMy2030 akan mewujudkan ekosistem pembangunan keusahawanan sosial negara yang ideal, holistik dan bersepadu. 

“Melalui ekosistem yang mantap, saya percaya lebih ramai lagi usahawan sosial dapat dilahirkan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang seterusnya memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi, kelestarian dan kemampanan alam sekitar serta peningkatan kualiti kehidupan masyarakat.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada enam rakan strategik Kementerian bagi penganjuran Program SE4U, iaitu Yayasan Hasanah, Chamber of Social Entrepreneur Development Malaysia atau CSED (disebut sebagai ‘C-sed’), MyHarapan, MRANTI, SeedLab dan Catalyst 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN