Semak semula kurikulum atasi masalah murid tidak kuasai 3M - Utusan Malaysia

Semak semula kurikulum atasi masalah murid tidak kuasai 3M

MOHAMAD ALAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kementerian Pendidikan akan menyemak semula dan memperbaiki kurikulum sedia ada bagi mengatasi masalah murid tidak menguasai 3M (membaca, mengira dan menulis).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihak kementerian mempunyai kurikulum yang cukup komprehensif terutama berkaitan 3M.

Menurutnya, ini sentiasa menjadi fokus utama sejak prasekolah dan sekolah rendah bagi memastikan sekurang-kurangnya murid sekolah dapat menguasai 3M.

Namun katanya, sekiranya benar terdapat 12,000 murid di Sabah gagal menguasai 3M seperti yang dilaporkan sebelum ini, Kementerian Pendidikan akan melakukan semakan bagi membuat apa-apa intervensi yang perlu.

“Kita akan melihat ke arah mana untuk kita perbaiki kurikulum sedia ada. Saya tidak nafikan ada kawasan-kawasan luar bandar yang masih ketinggalan. Kita mungkin boleh ubai suai sedikit pendekatan atau kaedah kita bagi memastikan anak-anak yang berada di luar bandar khususnya, tidak keciciran dalam 3M,” katanya ketika mengulas tentang 12,000 murid di Sabah tidak mampu kuasai kemahiran 3M.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) peringkat Parlimen Kimanis semalam.

Katanya, ibu bapa di luar bandar mungkin sedikit tertinggal dari segi budaya yang melihat kepentingan pendidikan.

Untuk itu beliau mengingatkan ibu bapa bersama-sama melihat bahawa pendidikan penting bagi anak-anak mereka.

“Justeru, hantarlah anak-anak ke sekolah dan beri lebih perhatian kepada pendidikan mereka semasa berada di rumah. Keprihatinan ibu bapa amat penting dalam memastikan anak-anak mereka menjadi warga yang mempunyai asas pendidikan yang baik untuk lebih maju pada masa akan datang,” jelasnya.

Sebelum ini, Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan, Mohammad Arif Tun Sakaran memberitahu, terdapat hampir 12,000 murid daripada 180 buah sekolah di Sabah tidak mampu menguasai kemahiran 3M.

Menurutnya, data tersebut direkodkan pada dua tahun lalu dan dikhuatiri pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak bermulanya pandemik Covid-19 akan turut menyumbang kepada peningkatan bilangan murid yang tidak mahir dalam 3M di Sabah.

Dalam majlis itu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan daripada SESB kepada badan-badan amal dan golongan asnaf di kawasan Parlimen tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN