Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak - Agong, Raja Permaisuri Agong - Utusan Malaysia

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak – Agong, Raja Permaisuri Agong

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri. - ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menzahirkan titah ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan ibadah puasa kepada kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Dalam titah ucapan tersebut, Seri Paduka berdua menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya tidak leka dan beristiqamah mengamalkan kawalan kendiri dalam mencegah penularan Covid-19 meskipun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

“Umat Islam negara ini turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian penularan Covid-19 dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi fasa peralihan ini. Rakyat juga dinasihati memastikan diri dan keluarga tersayang dilindungi dengan pengambilan dos vaksin penggalak.

“Seluruh umat Islam diajak mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah serta penularan Covid-19 dapat diakhiri dengan segera,” titah Seri Paduka berdua dalam kenyataan Istana Negara.

Pada masa sama, Seri Paduka berdua juga menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

Seri Paduka turut menyeru umat Islam di Malaysia mengimarahkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini juga dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan. 

Titah Seri Paduka berdua, syiar Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah)”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN