Sasar tubuh 500 koperasi dikenali Coop Community Mart bantu B40

Sasar tubuh 500 koperasi dikenali Coop Community Mart bantu B40

ISMAIL Sabri Yaakob bergambar dihadapan Coop Mart selepas Majlis Pelancaran dan Perasmian Coop Mart di PPA1M Pudina, Presint 17, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan penubuhan lebih 500 buah kedai koperasi yang dijenamakan semula sebagai Coop Community Mart di seluruh negara dalam masa terdekat sebagai usaha meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah atau B40, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Langkah ini dapat memastikan manfaatnya akan dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutama kawasan luar bandar dan juga lokasi yang majoriti penduduknya dari kalangan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart diuruskan Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Dewan Seri Pudina, Presint 17, di sini hari ini.

Turut hadir pada acara berkenaan ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan geran penubuhan koperasi yang berjumlah RM400,000 dan bantuan Pemetaan Rantaian Bekalan di bawah Pelan Pemulihan Usahawan.

Sumbangan sebanyak RM1.2 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad itu akan digunakan 24 buah pusat pengedaran koperasi di bawah inisiatif pendigitalan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, premis CoopMart itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan ahlinya melalui dividen, malahan menawarkan barang keperluan pada harga rendah.  

“Ia wujud dengan mendapat bekalan langsung daripada sumber pembekal seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan pembekal utama yang lain,” tambahnya.

Kaedah itu ujarnya, menawarkan penduduk kepada situasi ‘menang-menang’ sejajar semangat Keluarga Malaysia, sekali gus membantu pengurangan beban hidup dirasai rakyat miskin.

Pada masa sama, beliau berharap Angkasa sebagai koperasi induk dapat bersama dengan pihak kerajaan memperluaskan fungsi Coopmart dan menolong koperasi menceburi perniagaan.

Pertumbuhan gerakan koperasi tempatan yang genap berusia 100 tahun jelasnya, wajar diberi penekanan terutama sektor peruncitan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Ismail Sabri merujuk statistik SKM setakat Disember tahun lalu yang menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta di bawah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi di bawah Bajet 2022 bagi memulihkan koperasi dan bangkit menjalankan aktiviti.

“Justeru, jika semua koperasi itu bergerak proaktif dan bersepadu, setiap ahlinya bakal meraih manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impak besar buat negara,” katanya.

Beliau optimis dengan masa depan koperasi di Malaysia kerana sehingga kini sektor itu telah mencatatkan perolehan RM41.47 bilion dengan jumlah keanggotaan melebihi 7.1 juta orang.

Potensi gerakan itu katanya, wajar diperkasa bagi membolehkan ia menguasai pasaran pemborongan terutama sistem rantaian bekalan secara pukal melalui ekosistem yang bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN