SEREMBAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi diharap dapat merancakkan lagi sumbangan sektor peruncitan kepada ekonomi negara sekali gus menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang terkini, prestasi sektor perdagangan dan pengedaran bagi bulan Februari 2022 telah merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini juga tentunya didorong oleh pembukaan sektor ekonomi yang lebih menyeluruh dengan disokong oleh perbelanjaan domestik yang cukup di musim perayaan khususnya pada Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
“Oleh itu, saya sangat berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dapat merancakkan lagi sumbangan sektor peruncitan kepada ekonomi negara dan dapat menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini.
“Melalui fasa peralihan endemik ini, ia akan dapat memastikan industri peruncitan ‘kembali bernafas’. Inilah masa yang terbaik untuk kita semua kembali merancakkan perniagaan masing-masing dengan mengadakan tawaran-tawaran istimewa sempena musim perayaan yang bakal menjelang,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Malaysia – Rancak Aidilfitri di AEON Mall, Nilai, di sini hari ini.
Nanta dalam pada itu menambah, pihaknya berharap Program Rancak Aidilfitri yang julung kali diadakan tersebut akan dapat menyokong usaha pemulihan ekonomi melalui sektor peruncitan.
“Program ini juga merupakan salah satu program yang dirancang di bawah Takwin Program Jualan Malaysia 2020 yang menawarkan jualan murah ‘Sepanjang Masa di Seluruh Negara’.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui pelbagai inisiatif berterusan sentiasa meneruskan usaha untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Program Jualan Malaysia (PJM) dan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang bulan Ramadan khusus untuk membantu rakyat menangani mendapatkan barangan asas dan keperluan pada harga yang berpatutan,” kata beliau.
Sementara itu, kata beliau, KPDNHEP akan memastikan bekalan petrol di stesen-stesen mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
“Kita sudah dua tahun tidak boleh balik kampung, tidak merayakan Aidilfitri dan perayaan yang lain juga, tetapi bila sudah dibenarkan kali ini, tentulah jalan akan penuh sesak dengan kenderaan.
“Bagi bekalan minyak petrol, kami akan cuba pastikan dan berhubung dengan stesen-stesen minyak supaya mereka dapat bekalan mereka dan syarikat-syarikat minyak juga bekerjasama dalam perkara ini,” katanya. – UTUSAN