Trump tangguh serang Iran, paksa Teheran adakan semula rundingan nuklear

Trump tangguh serang Iran, paksa Teheran adakan semula rundingan nuklear

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk menentang penglibatan AS dalam perang Iran-Israel semasa demonstrasi di Los Angeles, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan keputusan melancarkan serangan terhadap Iran, sebaliknya membuka ruang selama dua minggu lagi bagi menghidupkan semula rundingan diplomatik yang terhenti sejak Israel melancarkan kempen pengebomannya minggu lalu.

Menurut pegawai AS, Trump dan penasihat-penasihatnya berharap tekanan berterusan dari Israel termasuk kerugian besar aset peluru berpandu Iran akan mendorong negara itu untuk berlembut dan bersetuju dengan syarat-syarat yang sebelum ini ditolak, termasuk menghentikan aktiviti pengayaan uranium.

Keputusan menangguhkan serangan ini dibuat selepas beberapa hari kenyataan keras dari Trump yang membayangkan beliau bersedia mengarahkan tindakan ketenteraan.

Langkah itu turut memberi ruang kepada beliau untuk mempertimbangkan kesan jangka panjang, termasuk risiko mengheret AS ke dalam konflik asing yang sebelum ini dijanjikan akan dielakkan.

Namun cubaan awal ke arah penyelesaian diplomatik dalam masa yang terhad itu dijangka bakal berdepan pelbagai rinta­ngan.

Usaha Eropah dan kekaburan dasar AS

Sumber berkata, terdapat perbincangan dalam Rumah Putih awal minggu ini untuk menghantar Wakil Khas Asia Barat, Steve Witkoff, dan Naib Presiden, JD Vance ke rantau itu bagi mengadakan pertemuan dengan Iran.

Namun, apabila Trump bimbang usaha itu mungkin berjaya terlalu cepat, rancangan tersebut dibatalkan dan kedua-duanya kekal di Washing­ton sehingga Khamis.

Sebagai alternatif, menteri luar dari Britain, Jerman dan Pe­rancis ke Geneva semalam untuk bertemu dengan wakil Iran, dengan harapan menghidupkan semula cadangan yang ditolak Teheran sebelum serangan Israel bermula.

Walaupun tidak menjangkakan kejayaan yang pantas, seorang pegawai Rumah Putih berkata, pintu rundingan masih terbuka.

“Ini adalah pertemuan antara pemimpin Eropah dan Iran. Trump menyokong sebarang usa­ha diplomatik oleh sekutu kami yang boleh membawa Iran lebih dekat dengan perjanjian yang ditawarkan,” kata pegawai itu.

Para pemimpin Eropah yang menuju ke Geneva menyasarkan keterbukaan Iran kepada penyelesaian diplomatik, dengan pandangan berbalas serangan bukanlah jalan keluar kerana sedar kemahiran dan keupayaan nuklear Teheran tidak dapat dimusnahkan sepenuhnya melalui tindakan ketenteraan.

Namun, kebanyakan diplomat AS yang tidak tergolong dalam lingkaran dalaman Presiden tidak menerima panduan khusus untuk disampaikan kepada negara-negara sekutu, menjadikan perbincangan dengan rakan-rakan antarabangsa sangat terhad kerana ramai hanya mampu merujuk kepada kenyataan Trump sendiri.

Pertaruhan diplomasi dan serangan

Sejak serangan Israel bermula seminggu lalu, mesej Iran kepada AS kekal konsisten untuk tidak kembali ke meja rundingan selagi operasi ketenteraan Israel tidak ditamatkan.

Menurut sumber, AS setakat ini tidak memberikan tekanan kepada rejim itu untuk menghentikan serangan malah, Trump memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar meneruskannya lagi.

Iran juga belum menunjukkan sebarang kesediaan untuk berkompromi dalam isu pengayaan uranium yang dianggap sebagai garis merah dan belum ada rundingan rasmi antara Washington dan Teheran dijadualkan.

Dengan memberi tempoh dua minggu, Trump dilihat memberi peluang kepada jalan diplomatik yang sebelum ini dianggap hampir mustahil.

“Saya fikir Trump sentiasa mahu memberi peluang kepada diplomasi. Tetapi, percayalah, beliau tidak gentar untuk menggunakan kekuatan jika perlu.

“Iran dan seluruh dunia harus tahu tentera AS adalah pasukan tempur yang paling kuat dan berbahaya di dunia, malah kita mempunyai keupayaan yang tidak dimiliki negara lain,” kata Setia­usaha Akhbar AS, Karoline Leavitt.

Dalam siri mesyuarat di Bilik Situasi minggu ini, Trump turut meminta pandangan penasihat mengenai keberkesanan bom pemusnah kubu AS terhadap kemudahan nuklear bawah tanah Iran di Fordow serta kemungkinan tempoh operasi tersebut.

Beliau juga berulang kali me­negaskan tidak mahu terlibat dalam konflik jangka panjang, kebimbangan yang turut dikongsi oleh sekutu setia beliau, termasuk bekas penasihat, Steve Bannon.

Trump dijadualkan mengadakan lebih banyak taklimat perisikan dan kembali lebih awal dari kunjungan hujung minggu ke hartanahnya di New Jersey untuk menerima kemaskini di Rumah Putih sementara Witkoff dan beberapa pegawai AS giat berhubung dengan negara-negara serantau yang sanggup menjadi orang tengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×