KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri boleh memberi sebarang penjelasan kepada media sekiranya tidak setuju berhubung artikel yang diterbitkan oleh portal Agenda Daily.
Menurut pernyataan pembelaan pemilik Agenda Daily, Muhammad Izwan Mohd Zubit, Ismail Sabri sentiasa mempunyai akses terus dan segera kepada wartawan, pihak media, saluran televisyen, akhbar akhbar perdana dan lain-lain.
Jelas beliau, pada bila-bila masa Ismail Sabri boleh membuat penjelasan kepada rakyat mengenai apa-apa isu melibatkan jawatan rasmi atau kerjaya politiknya.
“Tindakan memfailkan saman ini adalah suatu tindakan yang mengaibkan, remeh dan menyusahkan selain suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Tindakan plaintif (Ismail Sabri) memfailkan saman terhadap defendan dan terhadap Agenda Daily merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media, kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi,” kata pernyataan itu.
Dalam pada itu, defendan menegaskan bahawa undang-undang mengiktiraf peranan dimainkan media dalam menyampaikan maklumat dan informasi yang melibatkan kepentingan awam.
Jelasnya, rakyat berhak untuk menerima maklumat daripada pelbagai sudut dan perspektif tidak kiralah maklumat tersebut memihak atau bertentangan dengan kerajaan.
Sebelum ini, Ismail Sabri selaku plaintif menyaman Agenda Daily kerana artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan”, didakwa membayangkan bahawanya merayu sokongan berterusan daripada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).
Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi menamakan Muhammad Izwan sebagai defendan atas kapasitinya sebagai pemilik Agenda Daily Media Enterprise yang mengendalikan portal berita itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail berkata, artikel tersebut, dalam maksud biasa dan secara inferens, menyatakan bahawa beliau bimbang akan menjadi Perdana Menteri yang paling singkat penggalnya dalam sejarah Malaysia.
Katanya, artikel itu juga membayangkan beliau terdesak untuk kekal menyandang jawatan itu dengan apa cara sekalipun dan sanggup “merayu” parti politik tertentu agar tidak menarik balik sokongan kepadanya.
Tambahnya, artikel itu turut memberi gambaran bahawa beliau hanya mementingkan kedudukan dan tidak mempedulikan rakyat.
Beliau juga memohon injunksi kekal, ganti rugi dan permohonan maaf diterbitkan di Agenda Daily dan dua akhbar tempatan lain.
Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan injunksi ad interim yang dimohon oleh Ismail Sabri terhadap pemilik portal berita Agenda Daily dalam saman fitnah berhubung artikel yang diterbitkannya.
Injunksi ad interim bertujuan untuk memberikan perlindungan sementara kepada plaintif yang memohon, sementara menunggu perbicaraan injunksi interim. – UTUSAN