MERSING: Seorang lelaki bertindak sebagai ‘runner’ menjual mercun dengan mengambil tempahan menerusi aplikasi WhatsApp ditahan polis di kawasan Kampung Paya Tinggal berhampiran laut Kem Sekakap, di sini semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Superintenden Muhd. Zailani Abdullah berkata, hasil maklumat awam, PPM Mersing melancarkan Op Kontraband dan berjaya menahan sebuah kereta Perodua Bezza berwarna gelap dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Setelah ditahan untuk pemeriksaan, pihak polis telah menemui sejumlah mercun dan bunga api yang tidak mempunyai dokumen yang sah disembunyikan di bonet kereta tersebut.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2,000 dan pemandu yang juga pemilik kenderaan tersebut mengaku bahawa mercun dan bunga api tersebut adalah miliknya.
“Barang larangan tersebut adalah tempahan yang diterima olehnya untuk dihantar kepada pembeli melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kata Muhd. Zailani, semua rampasan dibawa ke PPM Mersing untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah Mersing.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak polis sentiasa membuat rondaan dan pemeriksaan sama ada di laut atau di darat bagi mencegah sebarang perlakuan jenayah.
Orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada PPM ditalian 07-2372221 atau 07-2372222. – UTUSAN










