Roger Ng dan isteri saman RHB, Maybank - Utusan Malaysia

Roger Ng dan isteri saman RHB, Maybank

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng (kanan) berjalan dengan peguamnya, Marc Agnifilo (kiri) ketika tiba di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di New York pada 8 Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dan isterinya Lim Hwee Bin memfailkan saman terhadap dua bank berhubung dakwaan tidak membenarkan pasangan suami isteri itu mendapatkan akses secara langsung kepada akaun bank mereka.

Ng, 50, yang turut dikaitkan dengan skandal 1MDB dan Lim, 51, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Tan Hock Chuan & Co pada 27 Januari  lalu, dengan menamakan RHB Bank Berhad (RHB Bank) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pasangan suami isteri itu memohon perintah supaya defendan segera membenarkan mereka mendapatkan akses langsung kepada dua akaun RHB Bank dan lima akaun Maybank milik mereka dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, kedua-dua plaintif memohon perintah agar defendan membekalkan salinan penyata akaun bulanan bagi RHB Bank dan Maybank, dari Mac 2019 sehingga tarikh perintah mahkamah itu kepada plaintif, termasuk maklumat mengenai faedah bulanan atau tahunan dalam akaun tersebut.

Pasangan itu juga menuntut defendan membayar ganti rugi khas sebanyak RM100,000 daripada RHB Bank dan Maybank, termasuk ganti rugi am dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Menurut pasangan suami isteri itu, pihak pendakwaan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk melucut hak wang dalam akaun Maybank dan RHB Bank, namun pada 8 Nov 2021, mahkamah menolak permohonan pelucuthakan itu, yang mana pihak pendakwaan gagal menunjukkan akaun bank berhubungan dengan kesalahan hasil daripada aktiviti haram.

Selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Lim pergi ke Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower), untuk menuntut akses langsung kepada akaun tersebut.

“Bagaimanapun, defendan telah gagal, cuai dan enggan membenarkan plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun tersebut,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Pasangan itu kemudiannya menyampaikan notis tuntutan melalui peguamcara mereka kepada Maybank dan RHB Bank pada 18 Nov 2021, menuntut defendan membenarkan plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun itu, namun defendan gagal berbuat demikian.

Plaintif mendakwa mereka dinafikan hak untuk mengakses akaun bank mereka, selain mendakwa memerlukan wang untuk membayar perbelanjaan harian, termasuk bil perubatan, yuran pendidikan anak perempuan mereka, penjagaan rumah dan pinjaman peribadi.

“Oleh sebab kegagalan, kecuaian dan keengganan defendan untuk membenarkan plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun tersebut, mereka mengalami kerugian kewangan, termasuk bagi kegunaan wang dalam akaun bank itu,” dakwa pasangan terbabit.

Sementara itu, Maybank dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 23 Mac lalu mendakwa Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, dan mengarahkan akaun itu kekal disita di bawah perintah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menurut Maybank, oleh kerana prosiding pelucuthakan kini di peringkat rayuan, akaun itu hendaklah kekal disita sehingga pelupusan muktamad prosiding berkenaan.

RHB Bank menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 10 Mac lalu pula mendakwa permohonan pelucuthakan masih diteruskan melalui rayuan dan pihak berkuasa belum membatal atau mengubah perintah penyitaan dan wang berkenaan akan kekal disita.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes saman terhadap Maybank ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Mei, manakala pengurusan kes adalah pada 13 Julai bagi RHB Bank. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN