RM2.1 bilion hutang kerajaan Pahang dihapus kira, baik pulih bekalan air - Utusan Malaysia

RM2.1 bilion hutang kerajaan Pahang dihapus kira, baik pulih bekalan air

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak RM2.1 bilion hutang kerajaan Pahang terhadap Kerajaan Persekutuan dihapus kira melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang yang ditandatangani, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan termeterainya perjanjian itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dapat membelanjakan RM920.5 juta secara berperingkat bagi menyelesaikan isu pengurusan bekalan air negeri ini.

Katanya, perjanjian terbabit membolehkan Paip memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, menaik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan.

“Ia merupakan detik bersejarah bagi kerajaan negeri Pahang dan kita merasa cukup bertuah. 

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Air (KASA); Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang terdahulu iaitu Datuk Seri Hassan Ariffin; Pengerusi PAAB ketika ini, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, serta semua pihak yang telah berusaha menjadikannya satu kenyataan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, dengan adanya peruntukan daripada PAAB itu akan memudahkan kerajaan negeri merancang kerja-kerja perbelanjaan modal (capex) bagi menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada masyarakat negeri ini.

“Ia juga sekali gus menjadikan kerja dan perancangan kita lebih lancar, seperti mana yang saya nyatakan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, bahawa kerajaan negeri amat komited dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah air negeri ini,” katanya.

Menurutnya, perjanjian tambahan terbabit ditandatangani Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mewakili Kerajaan Persekutuan; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd. Bokhari.

“Sesi menandatangani perjanjian tambahan tersebut disaksikan saya sendiri, bersama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Air, Datuk Mansor Othman serta Mohd. Khairuddin. Dengan termeterainya perjanjian tambahan tersebut, pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri boleh dikuatkuasakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN