TAMPIN: Bagi anak, kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 tentunya sesuatu yang memedihkan apatah lagi ketika umat Islam mula menjalani ibadah puasa, kenangan sewaktu bersama pastinya tidak mudah dilupakan.
Sama halnya buat, Noorsafurah Mohd. Yassin, 36, yang memberitahu, setiap kali menjelang bulan Ramadan dan hari raya, arwah ibunya, Halijah Amin pasti menjadi orang yang paling sibuk.
Katanya, arwah ibunya itu akan menyediakan makanan termasuk rendang ayam dan daging untuk dia dan tujuh orang adik beradiknya yang pulang ke kampung.
“Memang sejak kecil, ibu dan ayah, Mohd. Yassin Mansor sudah mendidik kami untuk menyambut bulan Ramadan sama meriahnya seperti menyambut bulan Syawal.
“Kami sudah terbiasa dengan sambutan ini dan tahun ini kami sepakat akan berkumpul adik-beradik untuk membaca Yasin sebelum solat tarawih malam pertama.
“Tentunya sebak kerana kami sudah tidak lagi berpeluang melihat rutin ibu semasa bulan Ramadan termasuk selalu mengisi waktu dengan mengaji al-Quran,” katanya ketika ditemui di Rumah Rakyat Repah, di sini, semalam.
Utusan Malaysia pada 4 Ogos tahun lalu melaporkan kisah 21 ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 termasuk Allahyarham Halijah dan Mohd. Yassin yang meninggal dunia selang tiga hari pada bulan Julai tahun lalu akibat wabak tersebut.
Ujar Noorsafurah lagi, masih segar dalam ingatannya kata-kata ibunya itu tentang Covid-19 akan menyebabkan mereka sekeluarga akan terpisah.
“Memang sedih dan sayu apabila diingatkan, lebih-lebih lagi saya dan anak-anak memang tinggal dengan mereka. Hari-hari lihat muka mereka, bila tiada memang benar-benar rasa kehilangan,” katanya.
Menurutnya, kini bagi menutupi rasa kehilangan berkenaan, anak-anaknya meneruskan penggunaan dua naskhah al-Quran kegemaran arwah ibunya itu bagi tujuan mengaji.- UTUSAN