tak akan berhutang

Rakyat takkan berhutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah tujuh juta pekerja swasta di negara ini tidak akan dibebani hutang se­panjang hayat kerana kerajaan memberi jaminan gaji minimum RM1,500 tetap dilaksanakan pa­da 1 Mei ini.

Sekalipun timbul keraguan da­lam kalangan golongan pekerja gaji minimum baharu tidak dilaksanakan atau kerajaan se­ngaja membuat pusi­ngan U, kerajaan percaya gaji minimum itu akan membantu pekerja terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang dihimpit kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, apa pun kekangan dijangka berlaku demi merealisasikan tuntutan berkenaan, kerajaan tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana pihak yang berniat ‘menentang’ pelaksanaan gaji minimum berkenaan.

Kenyataan itu sekali gus mengulangi pendirian sama beliau baru-baru ini yang kadar upah tersebut tetap dilaksana meskipun terdapat permintaan daripada pihak majikan menangguhkannya.

“Seperti yang saya pernah maklumkan sebelum ini, kadar gaji minimum baharu RM1,500 akan dilaksanakan bermulai 1 Mei ini. Keputusan ini tidak akan berubah, dan semua pekerja akan merasai kenaikan tangga gaji minimum baharu.

“Saya tidak membuat keputusan ini secara berseorangan tetapi sudah berunding dengan semua pihak termasuk pekerja dan majikan, agensi-agensi kerajaan dan lain-lain. Jadi jangan risau, kerajaan akan penuhi hasrat ini demi menjaga kebajikan semua pekerja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar ini mela­porkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor yang meramalkan, lebih tujuh juta pekerja swasta di negara ini terpaksa berhutang sepanjang hayat dan mengharapkan bantuan kerajaan pada setiap masa kerana tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung.

Hal itu sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dilaksanakan mulai 1 Mei ini dan gaji yang terlalu rendah di samping kos sara hidup tinggi menyebabkan golongan berkenaan tidak lagi mampu bertahan yang akhir­nya mendorong mereka meminjam wang daripada ceti haram sebagai jalan keluar masalah itu.

MTUC sebelum ini lantang menuntut kerajaan supaya menaikkan gaji minimum sedia ada antara RM1,100 hingga RM1,200 kepada RM1,500, untuk menyesuaikan keadaan ekonomi negara yang dibelenggu peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menolak kerana keba­nyakan industri negara ini tidak bersedia menaikkan gaji minimum akibat masih terkesan susulan penularan Covid-19 sejak melanda negara dua tahun lalu.

Sesetengah pihak pula berpendapat, pelaksanaan gaji minimum antara lain akan mengakibatkan inflasi yang mendorong kepada kenaikan harga barang sekali gus menyebabkan kadar upah itu tidak memberi sebarang perubahan makna dalam kehidupan mereka.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, beliau menafikan isu kenaikan harga barang akan berlaku ketika gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa tidak lama lagi.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diterajui Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sentiasa mengambil tindakan drastik un­tuk memantau mana-mana harga barang yang didapati meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN