Polis Terengganu tumpas sindiket peras ugut video lucah lelaki - Utusan Malaysia

Polis Terengganu tumpas sindiket peras ugut video lucah lelaki

ROHAIMI MD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menumpaskan sindiket peras ugut menggunakan video lucah lelaki menerusi penahanan tiga suspek termasuk pasangan suami isteri dari Kedah, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Sungai Petani dan Baling dalam serbuan pada pukul 10.15 pagi.

Katanya, sindiket itu terbongkar selepas tiga lelaki tempatan termasuk seorang penjawat awam dari daerah ini dan Marang membuat laporan polis yang mendakwa diperas ugut dengan kesemua kejadian berlaku pada 11, 13 dan 20 April lalu.

“Modus operandi sindiket itu ialah berhubung dengan mangsa menerusi aplikasi sosial seperti MiChat dan WeChat sebelum mengajak melakukan panggilan video lucah selama beberapa minit.

“Panggilan video berkenaan bagaimanapun dirakam oleh anggota sindiket dan kemudian digunakan bagi memeras ugut mangsa dengan meminta jumlah wang tertentu agar tidak disebarkan ke media sosial,” katanya dalam sidang akhbar di  Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Menurut Rohaimi, siasatan mendapati suspek turut mempunyai empat kes lain di Selangor, Perak dan Sabah dengan mereka kini direman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan ramai lagi lelaki yang menjadi mangsa sindiket itu, namun tidak membuat laporan polis atas faktor malu dan terpaksa membayar wang dari serendah RM30 hingga RM2,000 setiap kali diugut.

Katanya, sindiket berkenaan melakukan penyamaran dengan memaparkan video lucah seorang wanita tidak dikenali yang dipercayai dimuat turun daripada internet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN