PONTIAN: Sifat ‘berani’ seorang penjual mercun tanpa lesen dan permit sah yang berniaga permainan itu secara terbuka di bazar Aidilfitri di daerah ini memakan diri apabila dia ditahan polis semalam.
Suspek lelaki tempatan berusia 23 tahun itu yang sedang leka melayan pelanggan ditahan kira-kira pukul 10.45 malam selepas polis melakukan intipan di Tapak Ekspo dan Bazar Raya yang berhadapan Bangunan Dewan Jubli Intan, di sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, pelbagai jenis mercun turut dirampas dalam serbuan berkenaan yang diketuai Ketua Balai Polis Pontian, Inspektor Ahmad Shah Abdul Rasheed.
“Kami memandang serius kegiatan penjualan mercun tanpa permit dan lesen yang sah di kawasan tumpuan ramai menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, tangkapan mengenai penjualan mercun ini merupakan kali kedua berjaya dilakukan di mana sebelum ini seorang penjual mercun secara dalam talian ditahan di Taman Bunga Teratai, Pekan Nanas.
“Kami menasihatkan para peniaga termasuk di bazar Ramadan atau Aidilfitri agar sentiasa mematuhi peraturan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan penganjuran program tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Sehubungan dengan itu, Mohamad Shofee berkata, polis akan meneruskan operasi pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan dengan penjualan mercun tanpa lesen yang sah.
“Pihak Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat mengenai penjualan mercun yang tidak dibenarkan di lokasi tumpuan ramai mahu pun secara dalam talian,” jelasnya. –UTUSAN