PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang dekat sini.
Ini susulan satu video tular berdurasi 18 saat dimuat naik oleh dua pemilik akaun TikTok.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya setakat ini menerima satu laporan polis berkaitan kejadian itu.
“Video itu memaparkan seorang lelaki dipercayai bukan warga negara tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pasar raya.
“Berikutan kejadian itu, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Ashari turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran.
Semalam tular video menunjukkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengawal keselamatan pasar raya itu. – UTUSAN