PM jamin gaji minimum RM1,500 diteruskan - Utusan Malaysia

PM jamin gaji minimum RM1,500 diteruskan

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) berbual bersama sebahagian bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Bhd. selepas menyampaikan pampasan di Pejabat UMNO Kemaman di Kemaman hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan pada 1 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian itu kekal sekali gus turut mengesahkan yang kerajaan tidak akan membuat pusingan U berhubung pelaksanaan kadar gaji baharu berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perincian lengkap mengenainya akan diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan tidak lama lagi.

“Walaupun ada cadangan dan rayuan tetapi saya memberi jaminan penetapan gaji minimum pada 1 Mei akan diteruskan.

“Jadi jangan bimbang, kita tidak akan menarik balik atau membuat u-turn cuma perincian mengenainya akan diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan pampasan kepada bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Bhd. di Pejabat UMNO Kemaman di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih tujuh juta pekerja swasta di negara ini terpaksa berhutang sepanjang hayat dan mengharapkan bantuan kerajaan pada setiap masa kerana tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dilaksanakan mulai 1 Mei ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, lebih membimbangkan Malaysia bakal berdepan kesan domino keruntuhan ekonomi sekiranya kerajaan membuat pusingan U pelaksanaan gaji minimum yang akan turut mengundang impak terhadap pembangunan institusi sosial.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan meminda peruntukan agar guru gred DG 48 ke atas yang tidak terlibat dalam pentadbiran dibenarkan aktif dalam kesatuan.

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali supaya perkara ini dipinda semula.

“Saya percaya dalam akta memang tidak membenarkan guru dalam pentadbiran berpersatuan tetapi seperti saya katakan kerajaan hari ini komited untuk bersama-sama pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya