PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menafikan pihaknya tidak menyediakan laluan Smart Tag di Plaza Tol Skudai.
Ini susulan satu hantaran menerusi media sosial yang mempamerkan gambar Plaza Tol Skudai kelihatan hanya beroperasi dengan lorong Touch ‘n Go dan lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sahaja.
Menurut PLUS, bermula 21 Januari lalu, Plaza Tol Skudai sudah menawarkan ketiga-tiga pilihan mod pembayaran tol iaitu RFID, Touch ‘n Go dan Smart Tag.
“Kami sentiasa komited untuk terus menyediakan pelbagai mod pembayaran tol kepada pelanggan lebuh raya kami bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan dan seterusnya memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, pihaknya berharap penerangan itu dapat menjelaskan sebarang kekeliruan yang berlaku mengenai mod bayaran RFID di lebuhraya PLUS.
“Kami akan sentiasa berusaha memberi penjelasan atau maklum balas kepada anda secara terbuka dan tepat pada setiap masa.
“Anda juga boleh terus menghubungi kami untuk mengemukakan maklum balas atau pertanyaan agar kami boleh terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anda,” jelasnya. – UTUSAN