KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memahami seterusnya menerima tindakan kerajaan menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti buat kali kedua yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, beliau mengakui terdapat tentangan banyak ahli Parlimen, namun, setelah mengambil kira maklumat tambahan daripada menteri yang terlibat, pihaknya akur dengan keputusan tersebut.
“Memang pada mulanya tanpa maklumat tambahan memang ramai ahli Parlimen yang dukacita dan hampa, tetapi bila tahu dengan lebih lanjut dan lebih tepat baru kami faham apa sebenarnya yang berlaku. Bila perkara dimaklumkan, kita mengambil sikap konstruktif dan nawaitu PH semestinya berdasarkan kepada keperluan dibentang dan diluluskan di parlimen.
“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak menangguk air keruh, menggunakan RUU ini sebagai keperluan dengan meluluskan kehadiran anggota dewan untuk memberi signal politik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan Kabinet tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.
Sidang khas
Namun demikian, Wan Junaidi menjelaskan, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan perlembagaan bagi memudahkan RUU tersebut dibentangkan pada masa hadapan.
Fahmi turut berkata yang pihaknya masih berpegang kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang untuk perkara itu perlu disegerakan dibahas dan diluluskan.
“Ini adalah isu demokrasi untuk kembalikan keyakinan pengundi terhadap proses.
“Ia masih berasaskan kepada MoU yang telah ditandatangani pada 13 September 2021, bagi kami yang tercatat dalam dokumen masih menjadi fokus, jadi garis masa yang diletakkan dipersetujui.
Itu masih jadi kayu ukur, dan ia mesti disegerakan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim turut berkata, sesi libat urus perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memberi keadilan kepada semua pihak mengenai RUU tersebut.
“Ada beberapa perkara yang perlu dilihat secara terperinci dan mengadakan sesi libat urus dengan lebih kerap, sebab kita nak adil kepada semua pihak dan bila pindaan dibuat, pihak yang terlibat akan rasa terbela.
“ Jadi, ini bukan perkara yang boleh diambil secara sambil lewa, tetapi ia perlu dilihat secara terperinci dengan prinsip yang adil kepada semua pihak,” katanya.- UTUSAN










