Pesawah KADA rugi RM26.19 juta akibat banjir

Pesawah KADA rugi RM26.19 juta akibat banjir

KAMARUDIN Md. Nor (kanan) ditemubual ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa KADA bersama Pengamal Media Kelantan di Kota Bharu semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Banjir luar jangka melanda Kelantan penghujung Februari lalu mengakibatkan pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menanggung kerugian mencecah RM26.19 juta.

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, kerugian tersebut besar kerana melibatkan seramai 1,365 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 4,500 hektar.

Menurutnya, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh merupakan lokasi penanaman padi yang paling teruk terjejas.

“Kebanyakan pesawah terkesan disebabkan semua pokok padi ditanam mereka yang masih dalam proses tumbesaran didapati rosak akibat ditenggelami air

“Apabila sawah ditenggelami air banjir, rosaklah anak pokok padi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa KADA Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Nik Idris.

Kamarudin memberitahu, laporan terperinci mengenai jumlah kerugian akibat banjir tersebut sudah dipanjangkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarudin berkata, jumlah kawasan tanaman padi seliaan KADA di seluruh Kelantan kini berkurangan kepada 25,000 hektar, berbanding 37,000 hektar sebelum ini.

Katanya, pengurangan kawasan penanaman padi itu disebabkan oleh aktiviti tebus guna tanah sawah untuk pelbagai projek pembangunan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN