Pesakit Indonesia kembali dapatkan rawatan di Johor

Pesakit Indonesia kembali dapatkan rawatan di Johor

MOHD. Azhar Abdullah (kanan) menyambut pesakit dari Indonesia yang mahu mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Malaysia khususnya Johor kembali menjadi destinasi pelancongan kesihatan daripada pesakit luar negara terutama Indonesia selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak 1 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, sehingga hari ini pihaknya menerima purata kehadiran antara lapan hingga 10 pesakit antarabangsa setiap hari.

Menurut beliau, pesakit antarabangsa yang berkunjung ke hospital berkenaan merupakan sama ada pesakit berulang mahupun pesakit baharu.

“Kami sangat mengalu-alukan langkah pembuka sempadan antarabangsa ini di mana ia membolehkan kita terus memberi rawatan kepada pesakit-pesakit antarabangsa kami.

“Jumlah kehadiran pesakit antarabangsa juga dijangka akan terus meningkat dari hari ke hari, kita juga sudah menerima 20 tempahan untuk beberapa hari akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Azhar, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar pesakit daripada Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut ke hospital-hospital di bawah kendalian KPJ.

“Selain itu, kita juga menyediakan perkhidmatan ‘shuttle bus’ untuk menghantar pesakit dari hotel penginapan mereka, di mana kita telah bekerjasama dengan beberapa hotel di sekitar Johor Bahru,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Azhar berkata, sebelum pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, kira-kira 20 peratus pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Pakar KPJ Johor merupakan pesakit antarabangsa.

Sementara itu, salah seorang pesakit antarabangsa hospital berkenaan, Merina, 34, berkata, dia terus membuat tempahan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan apabila mendapat perkhabaran sempadan antarabangsa Malaysia akan dibuka pada 1 April lalu.

“Sebelum ini saya pernah mendapatkan rawatan di hospital ini pada 2018, namun selepas tahu sempadan Malaysia sudah dibuka semula, saya datang lagi ke sini untuk mendapatkan rawatan.

“Saya juga membuat keputusan untuk berkunjung ke hospital ini kerana cadangan daripada kawan-kawan yang memuji perkhidmatan disediakan, doktor-doktor pakar yang bertugas di sini terbaik,” katanya yang berasal dari Batam, Indonesia.

Tambah suri rumah itu, sebelum boleh mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, dia perlu memastikan sudah menerima tiga dos suntikan vaksin, selain turut membeli perlindungan insurans.

“Saya tiba di Johor semalam dan dijadual pulang semula ke Batam pada 9 April ini, jika rawatan berjalan lancar dan ada waktu terluang, saya akan turut berjalan-jalan di sekitar bandar raya ini,” ujarnya yang hadir ditemani suaminya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN