Penunggang OKU maut melawan arus

Penunggang OKU maut melawan arus

MAYAT K. Mahendran (gambar kecil) ditutup dengan kain putih selepas maut dalam kemalangan di Jalan Kuil Pengkalan, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal orang kurang upaya (OKU) maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal masing-masing ditunggang mereka bertembung di Jalan Kuil Pengkalan di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, K. Mahendran, 40, maut di lokasi kejadian manakala pekerja kilang, Mohd. Akmal Razali, 34, dibawa ke Zon Merah Hospital Alor Gajah akibat parah di kepala. 

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa OKU yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna biru memasuki laluan bertentangan menuju ke arah Pengkalan. 

“Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal ditunggang seorang pekerja kilang yang menuju ke arah Alor Gajah. 

“Kemalangan mengakibatkan mangsa yang bekerja sebagai tukang bersih maut di lokasi manakala seorang lagi parah di kepala dan dibawa ke Zon Merah Hospital Alor Gajah,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Amran berkata, hasil siasatan awal, punca kemalangan adalah disebabkan kegagalan mengawal motosikal. 

“Kita meminta saksi bebas di tempat kejadian tampil membantu siasatan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan di lokasi hanya menjumpai pecahan kenderaan di atas permukaan jalan. 

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes dibuka di bawah 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN