PETALING JAYA: Seorang penjawat awam di sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 pada Jumaat lalu di Putrajaya.
Satu sumber mendedahkan, pegawai berusia lewat 30-an itu disyaki meminta ‘habuan’ itu sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja-kerja berkaitan sanitasi pusat-pusat mengundi dalam Pilihanraya Negeri di Johor, baru-baru ini.
Kata sumber itu, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja-kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.
“Suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.
Kata beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari yang berakhir hari ini.
“Bagaimanapun hakim Mahkamah Majistret Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan lepas reman terhadap suspek dengan menetapkan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin pada hari ini,” jelasnya. – UTUSAN











