Penduduk simpan air kegunaan hari raya - Utusan Malaysia

Penduduk simpan air kegunaan hari raya

MUHAMMAD Hakimi Halim membersihkan tangki air sebagai persediaan mengisi air bagi menampung keperluan pada Aidilfitri di Kampung Segantang Garam, Merbok, Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 1,500 penduduk di tiga buah kampung di sini terpaksa menyimpan bekalan air lebih awal untuk menampung keperluan pada Aidilfitri tidak lama lagi.

Penduduk di Kampung Kuala Segantang Garam, Kampung Segantang Garam dan Kampung Pengkalan Bujang terpaksa mengambil langkah itu berikutan kampung tersebut sering mengalami gangguan bekalan air.

Penduduk Kampung Kuala Segantang Garam, Rusni Mohd. Isa, 56, berkata, dia mula membasuh botol minyak masak dan bekas tong cecair pencuci untuk menyimpan air sejak seminggu lalu.

Katanya, dia perlu menyimpan bekalan air yang banyak sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan air pada hari raya nanti.

“Saya mempunyai enam orang anak serta dua cucu yang tinggal di luar daerah dan mereka akan pulang beraya di rumah. Kami akan menggunakan air yang banyak untuk minum, mandi dan membasuh.

“Malah saya juga menadah air hujan sejak beberapa hari lalu kerana tidak mahu masalah kekurangan air mengganggu kemeriahan sambutan lebaran kami sekeluarga tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Penduduk dari Kampung Segantang Garam, Muhammad Hakimi Halim, 29, pula berkata, dia mula mencatu penggunaan air yang dihantar kontraktor Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada dua hari sekali bagi mengelak kekurangan bekalan air  sepanjang sambutan hari raya nanti.

“Kakak dan dua adik saya yang tinggal di Kuala Lumpur serta Terengganu akan pulang beraya di rumah bapa di sini selepas tidak dapat berbuat demikian kerana pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

“Selain menggunakan bekas sedia ada, saya turut membeli tong tambahan untuk menyimpan air bagi mengelak keluarga kami kekurangan  bekalan air sehingga merencatkan kemeriahan berkumpul meraikan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pengkalan Bujang, Hayati Mustaffa, 51, pula berkata, menyimpan bekalan air menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi rutin tahunan mereka pada setiap tahun.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan di kampung ini juga telah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“Kalau bekalan air tidak mencukupi penduduk terpaksa mengangkut air  di Taman Eko Rimba Tupah di sini yang terletak kira-kira tiga kilometer untuk menampung keperluan air termasuk pada hari raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN