GEORGETOWN: Penduduk Apartment Ara Green, Sungai Ara di sini panik selepas sebuah kediaman berpenghuni di tingkat 16 bangunan itu terbakar, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu menyebabkan sebahagian penduduk berlari turun ke tingkat bawah selain ada yang menjerit meminta penghuni lain keluar dari rumah masing-masing.
Difahamkan, pemilik kediaman yang terbakar itu adalah seorang wanita berketurunan India dan mangsa sempat melarikan diri sebaik sahaja kejadian berlaku.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 11.25 pagi dan tiba ke lokasi kejadian kurang lima minit kemudian.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat 16 apartment berkenaan. Kebakaran bilik dianggarkan 100 peratus dan tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa melibatkan penghuni kediaman tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami penghuni masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – UTUSAN