Pencarum LTAT dibenarkan buat dua pengeluaran - Utusan Malaysia

Pencarum LTAT dibenarkan buat dua pengeluaran

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibenarkan untuk membuat dua jenis pengeluaran iaitu haji dan pendidikan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedua-dua pengeluaran itu boleh dibuat bermula esok.

Jelasnya, pencarum boleh membuat pengeluaran haji maksimum RM10,000 dengan mereka telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji dan mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT.

“Bagi pengeluaran pendidikan, ia membabitkan jumlah RM3,200 bagi membantu pencarum bayar yuran pendaftaran semester satu bagi pengajian peringkat diploma, ijazah, ijazah sarjana atau PhD di IPT awam,” katanya sewaktu berucap di Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammudin juga mengumumkan kenaikan Bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) mengikut penjadualan daripada RM20 kepada RM50 sehari.

Selain itu, beliau mengumumkan inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan diberikan kepada anggota ATM.

“Anggota ATM berusia 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari, mereka juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan.

“Bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran mempercepatkan pengagihan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350 yang diumum semasa pembentangan Belanjawan 2022 sebelum ini.

“Perancangan baharu bagi menambah baik aspek pendidikan anak-anak warga ATM juga sedang diperincikan dan bakal diumumkan tidak lama lagi termasuk penambahbaikan infrastruktur di 38 sekolah dalam kem ATM, pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN