KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengenakan denda RM8,000 terhadap seorang lelaki kerana gagal mempamerkan tanda amaran larangan penjualan produk merokok kepada individu bawah 18 tahun di premis perniagaannya, Julai tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Nuzul Hamdan Mohd. Zulkifli, 28 selepas dia mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan pemuda itu dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Khairul Nuzul Hamdan selaku pemilik premis Akubob Trading di Kuala Berang, Hulu Terengganu didapati gagal mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada individu bawah 18 tahun di premis tersebut pada 13 Julai 2025.
Khairul Nuzul didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 7(1) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 10(2)(a)(i) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang Kechik manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










