Pemilik taska didakwa abai dua kanak-kanak

Pemilik taska didakwa abai dua kanak-kanak

KHAIRULIZAWATI Ruslan dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas menghadapi pertuduhan mencederakan dua kanak-kanak yang merupakan penghuni taskanya di Mahkamah Sesyen Muar, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang pemilik taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki yang berada dalam jagaannya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan dalam kejadian dua bulan lalu.

Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, 57, membuat pengakuan terbabit ketika dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Bagi pertuduhan pertama, wanita yang juga guru di taska berkenaan dituduh mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Pertuduhan kedua pula, Khairuzilawati berdepan dakwaan mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu lemas apabila menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan kain mini telekung.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tadika Qurnia Genius yang beralamat No. 25, Tingkat 1, Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi dan 4 petang, 7 Februari lalu.

Wanita itu berdepan dakwaan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM25,000 atau penjara selama tidak melebihi 25 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar yang meminta mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa dan keluarganya.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut berikutan wanita itu adalah ibu tunggal kepada lapan anak selain tertuduh mengalami penyakit berkaitan otak.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain larangan tertuduh mendekati mangsa, keluarga mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen serta lantikan peguam bela oleh tertuduh.

Awal bulan ini, akhbar ini melaporkan, seorang guru tadika ditahan polis kerana disyaki mendera empat kanak-kanak di sebuah tadika swasta setelah menyerah diri di sebuah balai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan mendapati salah seorang ibu kepada mangsa menerima rakaman video anaknya disyaki menjadi mangsa dera oleh guru terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya