Pematuhan SOP bazar Ramadan di Perak tidak memuaskan - Utusan Malaysia

Pematuhan SOP bazar Ramadan di Perak tidak memuaskan

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 khususnya di bazar-bazar Ramadan di negeri ini  kurang memuaskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebilangan pengunjung dilihat mulai leka dan cuai dalam mematuhi SOP termasuk tidak mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki bazar.

Malah katanya, ada dalam kalangan peniaga dikesan tidak memakai pelitup muka dengan cara yang betul apabila diletakkan di bawah dagu.

“Saya perlu berikan teguran ini selepas pergi ke beberapa bazar Ramadan dan mendapati berlaku pelanggaran SOP dengan tahap pematuhan juga tidak memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama ketua agama Kristian, Hindu dan Buddha di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini. 

Menurut beliau, pemeriksaan di semua bazar Ramadan  akan diadakan dalam masa terdekat bagi memantau tahap pematuhan orang ramai terhadap SOP Covid-19.

“Saya minta orang ramai terutama pengunjung dan peniaga agar memberi kerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan meskipun negara memasuki fasa peralihan endemik,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, pihaknya akan menempatkan seorang pegawai di setiap 1,375 rumah ibadat di seluruh negeri ini bagi meningkatkan interaksi masyarakat dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Jelasnya, pelaksanaan program itu hasil impak positif daripada program 1 Masjid 1 Pegawai Polis (1M1P) yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019.

“Kita akan laksanakan program ini secara berperingkat dan berterusan. Untuk langkah awal, ketua polis daerah diminta memanggil dan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua rumah ibadat di kawasan masing-masing bagi membincangkan perkara itu supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN