Pemandu Bezza ditahan lawan arus, langgar dua penunggang motosikal

Pemandu Bezza ditahan lawan arus, langgar dua penunggang motosikal

TANGKAP layar daripada klip video tular dalam media sosial memaparkan kereta Perodua Bezza memandu secara melawan arus di Kilometer 30.1 Lebuhraya SKVE di Kuala Langat, Selangor. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang pemandu Perodua Bezza diberkas selepas video dia memandu dan menongkah arus sebelum melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 2.49 petang itu, lelaki berusia 42 tahun berkenaan mengakibatkan dua mangsa cedera dan membahayakan pengguna lebuh raya lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kemalangan itu melibatkan dua motosikal jenis Honda Dash dan Yamaha LC 135 di lokasi arah Telok Panglima Garang menghala Bandar Saujana Putra.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan awal dipercayai berlaku ketika penunggang Honda Dash itu berhenti di hadapan Perodua Bezza yang berhenti di lorong kecemasan.

“Pemandu kereta itu bagaimanapun bergerak semula melanggar motosikal berkenaan hingga mangsa terjatuh dan cedera.

“Selepas pelanggaran itu, Perodua Bezza berkenaan melawan arus di lorong kecemasan lalu melanggar Yamaha  sehingga menyebabkan penunggangnya tercampak atas jalan dan turut cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu tersebut mengalami kecederaan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemandu yang cedera di kepala itu ditahan di wad kira-kira pukul 4 petang bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, ujian darah lelaki itu akan diambil bagi analisis alkohol dan dadah.

“Selain itu, kita sedang melakukan semakan sama ada suspek memiliki rekod jenayah lampau atau sebaliknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai  yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-18539115/ 03-31872222 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN