MIRI: Industri pelancongan yang yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.
Prihatin terhadap industri ini, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia memperuntukkan geran dan bantuan kewangan kepada pemain industri di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) Motac, baru-baru ini.
Menurut Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, seramai 16 orang pemain industri di Bahagian Miri yang layak menerima bantuan terebut akan menerima pembayaran secara dua kali, iaitu Mac ini dan April tahun ini.
Penerima terdiri daripada lima orang pemandu pelancong, lima syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan (TOBTAB) dan sebuah syarikat Malaysia My Second Home (MM2H) dan lima pengusaha inap desa di sekitar Miri.
“Secara keseluruhannya kerajaan telah memberikan sumbangan berjumlah RM85 juta kepada penggiat industri pelancongan dan kebudayaan seperti syarikat TOBTAB, MM2H, pemandu pelancong, pengusaha spa dan pusat urutan kaki (PUK), pengusaha homestay yang berdaftar di bawah kementerian berkenaan.
Katanya, bantuan berkenaan meliputi RM9,000 kepada syarikat tobtab dan MM2H, RM3,000 kepada pengusaha spa RM1,500 kepada pemandu pelancong dan RM1,800 kepada pengusaha inap desa.
Menurut Nancy, pembayaran akan dilaksanakan dua kali, iaitu pada Mac dan Mei ini.
Nancy berkata, selain insentif bantuan kewangan, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada pengusaha-pengusaha hotel bajet berstatus orkid yang berdaftar dengan Motac untuk tujuan pembaikan kemudahan serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa.
Tambahnya, kerajaan juga turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK).
“Matlamat utama pemberian geran-geran padanan pembaikan tersebut adalah untuk memastikan kemudahan dan infrastruktur pelancongan yang ditawarkan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan berkualiti seiring dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulihan industri pelancongan negara.
“Selain itu, geran sepadan sektor pelancongan dan kebudayaan yang disediakan juga adalah bertujuan untuk memberi bantuan kepada penggiat industri memulakan kembali penganjuran program berasakan pelancongan dan kebudayaan” katanya.
Di samping itu, Motac ujarnya juga turut melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk bukan kewangan kepada syarikat dan pemandu pelancong berlesen seperti pengecualian pembayaran pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022. –UTUSAN