KLANG: Pelajar lelaki Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin yang terjejas akibat kebakaran asrama semalam akan ditempatkan di Institut IMAN, Kampung Jawa, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad ketika meninjau lokasi kejadian berkenaan semalam.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan dan JAIS akan menguruskan kerja membaik pulih asrama itu secepat mungkin.
“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bomba akan segera menyediakan laporan siasatan sebelum kerja baik pulih dilakukan.
“Sewaktu saya bertemu dengan Pengarah JAIS, kemungkinan pelajar yang memerlukan asrama akan ditempatkan di Institute IMAN dan pengangkutan akan disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pelajar SAMT Sultan Hishammuddin di sini, terselamat apabila asrama sekolah itu terbakar kira-kira pukul 9.30 malam ketika semua penghuni tiada di asrama kerana menunaikan solat Tarawih.
Mohd. Zawawi berkata, sekolah itu merupakan tempat yang berjasa besar kepada dirinya.
“Saya mula mendalami ilmu agama Islam di sekolah itu pada 1983 hingga 1985 daripada puluhan guru yang berdedikasi dan tegas diri.
“Selain itu, saya mengabdi menjadi guru antara 1998 hingga 2004 dengan menyumbang tenaga berkongsi ilmu dan pengalaman untuk pembangunan generasi pewaris,” jelasnya.
Tambah beliau, kebakaran itu memusnahkan tingkat tiga bangunan asrama lelaki tersebut.
“Mujur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kepada mereka. Di bangunan itu, saya dan keluarga pernah menumpang berteduh sambil menjaga anak santri,” katanya. – UTUSAN