KUALA SELANGOR: Seorang pejalan kaki warga emas parah akibat dilanggar sebuah kenderaan sehingga tercampak ke dalam longkang di Jalan Sasaran, Jeram di sini, semalam.
Kejadian tular pukul 9 pagi itu turut mengakibatkan wanita berusia 67 tahun berkenaan turut terkena tiang elektrik di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima maklumat kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan dan seorang pejalan kaki.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah kereta Toyota Altis memberhentikan kenderaannya untuk memasuki simpang di jalan tersebut.
“Namun, sebuah Proton Satria dipandu wanita berusia 30 tahun secara tiba –tiba memasuki arah bertentangan dan melanggar Altis berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, Satria itu kemudian berpusing dan terlanggar pejalan kaki wanita yang berada di tepi bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramli, mangsa yang dilanggar dipercayai tercampak dan terkena tiang elektrik lalu masuk ke longkang tepi jalan berkenaan.
“Selain itu, sebuah Toyota Harrier yang parkir berdekatan kawasan tersebut turut dilanggar.
“Pejalan kaki itu yang parah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa lain tiada sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambah Ramli, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua pihak terlibat sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan.
Justeru, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah dan bertimbang rasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video dan gambar memaparkan wanita berkenaan tercampak dan cedera dilanggar kereta.-UTUSAN