Peguam bantah maklumat pegawai atasan kepada pegawai penyiasat kes Bung Moktar

Peguam bantah maklumat pegawai atasan kepada pegawai penyiasat kes Bung Moktar

i-sinar
BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes rasuah melibatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengemukakan bantahan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap maklumat yang diperolehi oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa kepada siasatan kes berkenaan.

Peguam Datuk K. Kumaraendran berhujah, aduan yang dibuat oleh Penguasa Kanan Mohd. Haris Ibrahim bersifat dengar cakap (hearsay) dan boleh memprejudiskan Bung Moktar yang kini dibicarakan atas pertuduhan rasuah dan isterinya Datin Seri Zizie Izzette A. Samad atas dakwaan bersubahat.

Menurut peguam bela, aduan tersebut tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

Oleh yang demikian, Kumaraendran berhujah, pihak pendakwaan cuba menggunakan `pintu belakang’ agar laporan itu diterima masuk oleh mahkamah sebagai keterangan walhal tiada pihak yang tampil membuat aduan.

Peguam M. M. Athimulan pula berhujah, laporan itu tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan kerana tiada seorang pun membuat laporan kepada mana-mana pegawai SPRM.

Terdahulu, Mohd. Haris, 42, ketika memberi keterangan menyatakan, pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan satu kes.

Saksi pendakwaan ke-27 itu memberi keterangan sebagai saksi terakhir pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah, aduan yang diterima daripada pegawai atasan itu dikategorikan sebagai FIR bagi membolehkan siasatan dimulakan.

Hujah beliau, pasukan siasatan tidak bergantung pada laporan itu semata-mata ketika menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria berhujah, SPRM mempunyai tatacara khusus yang memberi kuasa istimewa untuk menyiasat aduan dan maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat.

Menurutnya, Seksyen 29(1) Akta SPRM 2009 menyatakan aduan boleh dikemukakan kepada pegawai SPRM secara lisan atau bertulis dan jika aduan dibuat secara lisan, aduan itu perlu diubah dalam bentuk bertulis dan dibacakan kepada pihak yang membuat aduan.

Hujah beliau, mahkamah tidak boleh menyamakan tatacara tersebut dengan siasatan kes-kes lain kerana SPRM melindungi pemberi maklumat.

“Mana-mana pegawai SPRM perlu membuat aduan jika menerima sebarang maklumat berkaitan kes rasuah namun nama pemberi maklumat tidak dinyatakan,” ujar Mohd. Sophian.

Selepas mendengar penghujahan lisan, Hakim Rozina Ayob kemudian mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan bertulis pada 20 April ini sebelum beliau membuat keputusan bantahan itu pada 22 April.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.

Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya