Pegawai bomba sebak angkat jenazah ibu sendiri - Utusan Malaysia

Pegawai bomba sebak angkat jenazah ibu sendiri

MUHAMMAD Farid Arbak (kanan) dan bapanya, Arbak Atan menunjukkan gambar Allahyarham yang maut kemalangan di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hanya linangan air mata menggambarkan perasaan seorang pegawai bomba bantuan apabila mengangkat ibunya sendiri yang maut kemalangan di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, Norhamidah Kamar, 59, yang juga seorang guru terkorban selepas Toyota Avanza dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok di bahu jalan.

Anak mangsa, Muhammad Farid Arbak, 29, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya yang memaklumkan kemalangan itu.

“Pada waktu itu, saya tidak putus berdoa dan terkejut melihat ibu terbaring atas jalan dengan ditutupi kain batik. Lebih 20 jenazah pernah diangkat sebelum ini namun tidak sangka saya mengangkat ibu sendiri semalam,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang di sini hari ini.

Jelas Muhammad Farid, dia kali terakhir menemui arwah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Kuala Selangor pagi semalam.

“Masih terngiang suara ibu yang mengejutkan saya untuk bersahur dan kami sekeluarga sempat berbuka puasa bersama dan menunaikan solat Tarawih di surau. Ini Ramadan terakhir kami bersama ibu dan ternyata Allah lebih menyayanginya,” luahnya.

Bagi suami mangsa, Arbak Atan, 60, dia sempat menghubungi arwah yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Namun, saya terkejut dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung dan melihat keadaan isteri sudah terbaring kaku. Saya ketika itu hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa supaya arwah pergi dalam keadaan tenang,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Ambia Nordin mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN