Pasca banjir: JPS Negeri Sembilan tumpu projek dalamkan sungai - Utusan Malaysia

Pasca banjir: JPS Negeri Sembilan tumpu projek dalamkan sungai

AMINUDDIN Harun (kanan) dan Saari Abdullah mendengar taklimat berkenaan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri yang disampaikan oleh Pegawai Hidrologi JPS Negeri Sembilan, Mastura Maarof di Sikamat, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian banjir besar yang berlaku pada pertengahan Disember tahun lalu dan awal tahun ini di beberapa daerah menyebabkan berlakunya kerosakan dan kemusnahan dengan jumlah kerugian mencecah RM20 juta, melibatkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan.

Pengarah JPS negeri, Ir. Saari Abdullah berkata, kerosakan itu melibatkan banyak stesen-stesen hujan dan stesen hidrologi serta struktur milik jabatan.

“Fasa pasca banjir, kami ada beberapa strategi jangka pendek dan jangka panjang namun ketika ini memang kami akan melaksanakan projek quick-win (jangka pendek). Sekarang sedang rancak dilakukan contohnya kami mendalamkan semula sungai dan membaiki struktur-struktur yang rosak.

“Anggaran kerosakan akibat banjir dahulu lebih kurang RM20 juta dan baru-baru ini, juga telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan peruntukan sebanyak RM14 juta untuk buat kerja pasca banjir yang sekarang tengah giat, untuk panggil sebut harga dan tender,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Hari Terbuka Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri, JPS Negeri Sembilan di Sikamat di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, menurut Saari, pihaknya berharap kerja-kerja mendalamkan sungai yang dijalankan pihaknya ketika ini diharap dapat disiapkan sebelum berlakunya musim tengkujuh akan datang.

“Bagi kerja-kerja quick-win ini, kami jangka ia boleh siap menjelang musim tengkujuh akan datang. Tumpuan kami ketika ini adalah untuk kerja-kerja mendalamkan sungai.

“Selepas banjir baru-baru ini, kebanyakan sedimen dibawa sekali menyebabkan sungai kita jadi cetek. Jadi tumpuan adalah untuk mendalamkan sungai untuk semua seksyen sungai supaya ia boleh menampung air hujan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM7.2 juta bagi membangunkan Program Ramalan Awal Banjir Fasa 2 di Negeri Sembilan.

“Dimaklumkan 106 buah stesen yang akan dibangunkan dengan 41 stesen baharu dibina yang dijangka berupaya memberi ramalan dan amaran banjir lebih awal. Kalau sekarang kita dapat meramalkan dalam tempoh dua hari lebih awal, program ini dijangka dapat meramalkan sehingga seminggu lebih awal.

“Oleh itu ia bakal memberikan pendedahan terhadap penduduk berpotensi terjejas dengan banjir untuk berpindah sebelum banjir. Selain itu memberi ruang kepada agensi penyelamat untuk menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan cekap dan teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya